16 April 2014

BAPAK ZUL-KOWI?

DR. MAHATHIR Mohamad bersama Megawati Sukarnoputeri (tiga dari kanan), Jokowi (tiga dari kiri), Zahrain Mohamed Hashim (kanan), Maharani (empat dari kanan) dan Zulkifli Noordin pada pertemuan di kediaman peribadi Megawati di Menteng, Jakarta, Indonesia, semalam.*

Salam 2 all.

Alhamdulillah teman selamat tiba di Kuala Lumpur setelah beberapa hari berada di Jakarta untuk beberapa tugasan termasuk menghadiri pertemuan diantara Tun Mahathir Mohamed dengan Ibu Megawati Sukarnoputri, mantan Presiden Indonesia.

Turut hadir dalam ziarah Tun M ke rumah Ibu Mega ialah Capres Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang kini memegang jawatan Gabenor Jakarta. Jokowi adalah pendahulu dalam pertandingan merebut jawatan Presiden bagi mengganti Bapak Susilo Bambang Yudhoyono @ SBY yang akan tamat tempoh pemerintahannya tidak lama lagi.

Saya sangat teruja melihat sambutan luar biasa yang diberikan oleh Kerajaan dan rakyat Indonesia termasuk komuniti korporat mereka terhadap Tun. Ternyata jasa dan kehebatan Tun sangat mereka hargai. Malah ada yang membuat kenyataan mungkin bagus kalau Tun menjadi Presiden Indonesia! Sampai begitu gurauan mereka.

Tun juga mengadakan pertemuan dengan Komite Ekonomi Negara Indonesia yang dipengerusikan oleh tokoh korporat paling berjaya di Indonesia Bapak Chairul Tanjung. Beliau menghoskan makan tengahari untuk Tun dan delegasi dengan makanan istimewa tempatan dikenali sebagai Soto Ayam Lamongan dan Nasi Tumpeng.

Kehadiran wartawan yang begitu ramai dalam tiap program yang dihadiri Tun termasuk pidato awam bertajuk 'Malaysia Indonesia: Dulu, Kini & Selamanya' di Auditorium Menara Bank Mega, Jl. Kapt. P. Tendean, Kav 12, Jakarta Selatan yang turut dihadiri ramai para Menteri dan kepimpinan masyarakat Indonesia.

Kupasan Tun mengenai hubungan Malaysia-Indonesia dan saranan Tun agar Malaysia-Indonesia-Brunei menubuhkan satu Gagasan Ekonomi Melayu Serantau (GEMS) sangat diterima baik.

Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila Fahmi Idris, mantan Menteri TKI Indonesia yang juga seorang sahabat karib Anwar bertanya dengan penuh emosi mengapa Anwar dipecat dan dikenakan tindakan pertuduhan jenayah berkali-kali.

"Beliau Anwar sahabat saya, dan sahabat Indonesia. Alang-alang mau dihukum, penjarakan saja 100 tahun terus' - begitu emosional Fahmi bertanya kepada Tun M.

Saya pada masa itu dok perhati juga bagaimana cara Tun nak jawab dihadapan begitu ramai hadirin. Kalau kita mungkin bagi jawapan mudah sahaja, ;dah dia tak berhenti dengan aktiviti liwatnya, bagaimana mungkin Malaysia menghentikan pertuduhan. Mudah sahaja mau dihentikan, suruh saja Anwar berhenti meliwat'.

Tapi Tun Mahathir seorang negarawan. Jawapan Tun begitu mudah dan sempoi, lebih kurang begini, 'Anwar bukan sahaja sahabat saya, malah saya yang ambil beliau dan tatang sehingga menjadi TPM. Tetapi saya tidak boleh menerima perbuatan jijik dan kotor beliau. Kita tidak boleh ada dua jenis hukuman; satu untuk sahabat, satu untuk musuh. Anwar melakukan perbuatan jenayah, dia mesti menghadapinya sebagaimana rakyat Malaysia yang lain'.

Jawapan Tun Mahathir menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin!  Fahmi sendiri kelihatan menepuk tangan bersama-sama hadirin yang lain.

Disebelah malam pula, satu acara makan malam An Evening with Tun Mahathir & Tun Siti Hasmah yang gemilang dianjurkan tokoh korporat Malaysia yang sangat berjaya di Indonesia, Dato' Dr. Md. Radzi Saleh, Presiden-Direktur K-Link Indonesia di K-Link Tower, Jl. Gatot Subroto, No. 59A, Jakarta Selatan. Majlis diserikan dengan kehadiran Datuk Yusni Hamid dan Dato' Rossa.

Kelihatan Tun M sangat berbangga dengan kejayaan anak watan Malaysia di bumi Indonesia yang bukan sahaja berjaya melahirkan lebih 2 juta usahawan berjaya di kalangan rakyat Indonesia, malah berjaya membina sebuah menara setinggi 28 tingkat ditengah Bandaraya Jakarta.

Dan yang paling membanggakan, seorang tokoh producer filem yang terkenal di Indonesia, yang telah menghasilkan filem hebat Sukarno telah bersetuju untuk menghasilkan filem mengenai Tun Mahathir. Kata produser filem ini, dunia akan beruntung untuk merakam sejarah seorang negarawan sehebat Tun M.

Agak malang kita di Malaysia kurang memenafa'atkan legasi Tun Mahathir. Saya yang dahulunya sangat anti Tun M akibat ketaksuban politik kebencian yang melampau ditanam oleh Anwar Ibrahim, hari ini memang sangat bangga dan bertuah memikirkan kita punya pemimpin dan negarawan berwawasan dan berwibawa seperti Tun M.

Pernah dahulu kami yang taksub dengan Anwar mendoakan Tun Mahathir panjang umur untuk melihat kehancuran legasinya, tetapi hari ini saya berdoa kepada ALLAH semoga memanjangkan umur Tun Mahathir dan Tun Siti dan memberi mereka kesihatan yang baik kerana dunia, termasuk negara kita dan umat Islam serta bangsa Melayu masih memerlukan Tun Mahathir.

Mungkin tidak keterlaluan untuk saya cadangkan kita menamakan Menara Berkembar Petronas di KLCC dengan nama Menara Tun Mahathir sebagai menghormati dan menghargai jasa Tun yang tidak mungkin dapat kita bayar dengan segala kekayaan negara yang kita ada.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
15 Jamadil Akhir 1435
15 April 2014

*Gambar ehsan daripada www.utusan.com.my

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Petikan daripada www.utusan.com.my

Dr. M sokong Jokowi Presiden Indonesia

JAKARTA 14 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad mendoakan bakal calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo atau Jokowi akan menjadi Presiden Indonesia ketujuh dalam Pemilihan Umum (Pemilu) pada 9 Julai ini.

"Saya doakan Bapak Jokowi menjadi presiden berikutnya," kata Dr. Mahathir kepada Jokowi sebelum meninggalkan kediaman Ketua Umum PDI-P, Megawati Sukarnoputeri di sini hari ini.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu, Jokowi yang juga Gabenor Jakarta mengaminkan doa yang dipanjatkan Dr. Mahathir.
Amin, amin…" kata Jokowi sambil tersenyum kepada wartawan.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang akan menamatkan pentadbirannya pada Oktober ini juga secara terbuka menyokong Jokowi dari PDI-P sebagai penggantinya dan menggesa rakyat Indonesia memberi peluang kepada beliau.

Jokowi merupakan calon Presiden Indonesia yang sangat popular berbanding calon-calon lain yang mewakili pelbagai parti politik lain di negara ini.

Pada Pemilu pusingan Parlimen yang berlangsung 9 April lalu, parti PDI-P berada di kedudukan teratas menerusi pengiraan awal yang dibuat oleh pelbagai lembaga kaji selidik.

Dr. Mahathir yang pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun menjadi tumpuan media Indonesia yang ingin mendapatkan pandangan dan buah fikiran beliau mengenai landskap politik negara itu.

Beliau yang diringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali berada di sini untuk lawatan selama dua hari berkata, beliau juga akan terus bersahabat dengan sesiapa sahaja yang akan menjadi Presiden Indonesia.
Siapa juga yang akan jadi presiden akan menjadi sahabat (saya) kalau dia terima persahabatan saya," kata Dr. Mahathir pada sidang akhbar dalam satu acara berasingan.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan Malaysia akan terus menjalin hubungan yang baik dengan mana-mana presiden baharu yang akan memimpin Indonesia.

"Saya harap siapa juga yang akan dipilih menjadi presiden (sudah tentu juga kalau Jokowi dipilih), Malaysia akan mengadakan ada hubungan yang baik dengan presiden yang baharu," kata beliau lagi.

Mengulas pertemuannya dengan Megawati pula, Dr. Mahathir menyifatkan kunjungan hormat beliau ke atas bekas Presiden Indonesia kelima itu sebagai pertemuan dua sahabat lama untuk bertanya khabar dan berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa antarabangsa.

Menurut Dr. Mahathir berkata, hubungan beliau dengan Megawati sudah lama terjalin ketika kedua-duanya masih menjadi ketua negara masing-masing.
Saya gembira melihat dia (Megawati) sihat dan saya harap persahabatan juga dicerminkan oleh dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia," katanya lagi.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, anak perempuan Megawati, Maharani yang juga pemimpin kanan PDI-P dan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140415/dn_21/Dr-M-sokong-Jokowi-Presiden-Indonesia#ixzz2z2eH4qzN
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: